Kedatangan Islam Ke Tanah Melayu

#pengajianmalaysia #DIB1A #Jun2015

Saturday, 10 October 2015



LATAR BELAKANG & PERUNDANGAN  ADAT  PERPATIH





1.0 LATAR BELAKANG & SEJARAH
Adat secara umumnya merupakan kebiasaannya yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut dianggap melanggar adat. Atas dasar inilah pepatah melayu ada mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Di Tanah Melayu, adat diwarisi turun temurun dan menjadi ikutan masyarakat melayu tradisional. Adat ini kemudiannya diolah menjadi undang-undang yang melitupi segala aspek kehidupan. Undang-undang ini terbahagi kepada tiga iaitu undang-undang bertulis, undang-undang tidak bertulis dan Islam.
Undang-undang tidak bertulis terbahagi kepada dua iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.Kedua-dua adat ini dikatakan berasal dari Sumatera Utara dan dikembangkan oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemenggungan dan Datuk Pepatih Nan Sebatang. Adat Temenggung ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Daerah Naning di Melaka.
Secara amnya, Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh orang-orang di Negeri Sembilan masih lagi releven untuk diamalkan dan setiap lapisan masyarakat negeri ini kerana adat itu boleh menerima perubahan dari masa ke semasa. Ini boleh dilihat dari segi politik di mana sistem Yam Tuan Besar dan Dato’-Dato’ Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah Institusi Dato’ Lembaga dan Buapak-Buapak. Dari aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik.

2.0 ADAT PERPATIH SECARA UMUM
Adat Perpatih adalah merujuk kepada struktur dan konsep amalan sosio-budaya yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau dan di Malaysia juga terdapat amalan adat ini di beberapa tempat. Masyarakat di Negeri Sembilan adalah sangat sinonim dengan amalan Adat Perpatih kerana majoriti mereka mengamalkannya khususnya di daerah Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Tampin (Linggi dan Port Dickson tidak mengamalkan Adat Perpatih kerana pengaruh Adat Temenggung. Masyarakat di Kampung Bangkahulu di daerah kecil Gemas yang terletak di bawah jajahan daerah Tampin juga tidak mengamalkan Adat Perpatih kerana mereka mengamalkan sistem sosial Bangkahulu). Selain Negeri Sembilan, terdapat juga beberapa kawasan lain di luar daripada Negeri Sembilan yang turut mengamalkan sistem Adat Perpatih seperti yang diamalkan oleh masyarakat Naning di Alor Gajah, Melaka dan juga di Kampung Lukut, Kota Tinggi Johor dan Kampung Sasapan Batu, Rembau di Beranang, Selangor.
Sistem Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk sistem politik dan pentadbiran, ekonomi, undang-undang, pewarisan, sosial dan juga budaya. Ia adalah satu sistem yang kompleks mencakupi bidang pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, keadilan, adat resam dan kemahiran-kemahiran serta tabiat-tabiat manusia yang lain di dalam masyarakat yang didasarkan atas pemerhatian alam sekeliling dan masyarakatnya. Setiap peraturan atau adat itu ada rasional dan sebab-sebabnya.
Adat Perpatih juga berpaksikan kepada asas agama Islam dengan menjadikan adat itu hendaklah bersandar dan berpegang kepada ajaran Islam. Ini jelas daripada kata-kata perbilangan  berikut :
“Muafakat mencari benar
Bergaduh di hulu habis di hulu
Bergaduh di hilir habis di hilir
Di tengah-tengah mencari damai
Buang yang keruh ambil yang jernih
Adat mencari benar
Adat bersandar Kitabullah”.

3.0 ADAT PERPATIH & PERUNDANGAN
Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dan adat dikenali sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.
3.1 Pelaksanaan Undang-Undang
Undang-undang Adat Perpatih terkandung di dalam kata-kata atau perbilangan, perumpamaan, peribahasa, pantun, tamsil, teromba dan sebagainya Bentuk udang-undang dalam Adat Perpatih adalah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbang rasa. Hukuman yang diberi bertujuan memberi kesedaran, memperbaiki keadaan dan bukan untuk menghukum pesalah semata-mata. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya, seseorang yang cedera akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada kecederaannya.
Mangsa kecurian boleh mendapatkan semula barangannya yang telah dicuri. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pesalah mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Yamtuan Besar sahaja. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukuman-hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.  Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan.

 












No comments:

Post a Comment